Polisi Tidak Menerima Hadiah
Amalan Profesional Bebas Daripada Pengaruh Peribadi.
1.0 OBJEKTIF
Kausar Aspire mengamalkan Polisi Tidak Menerima Hadiah (No Gift Policy). Warga kerja Kausar Aspire, Pengurusan Tertinggi, ahli-ahli keluarga mereka atau perunding yang bertindak bagi pihak Pengurusan Tertinggi atau ahli keluarga mereka adalah dilarang daripada, secara langsung atau tidak langsung, menerima atau memberi hadiah.
Konflik kepentingan timbul dalam situasi di mana terdapat pihak-pihak yang mengambil kesempatan atas peranan mereka di Kausar Aspire untuk kepentingan peribadi, termasuk faedah kepada keluarga, isi rumah dan rakan-rakan. Keadaan ini boleh menjejaskan kredibiliti, kesetiaan, ketekunan dan integriti warga Kausar Aspire, Pengurusan Tertinggi serta perunding dalam menjalankan tugasan mereka.
Adalah menjadi tanggungjawab warga Kausar Aspire dan Pengurusan Tertinggi untuk memaklumkan kepada pihak luar yang berurusan dalam apa-apa transaksi atau urus niaga dengan Kausar Aspire bahawa syarikat ini mengamalkan Polisi Tidak Menerima Hadiah (No Gift Policy) serta memohon kerjasama mereka untuk memahami dan mematuhi polisi tersebut.
2.0 DEFINISI
2.1 Hadiah
Hadiah termasuklah, tetapi tidak terhad kepada:
Wang tunai;
Harta alih dan harta tak alih;
Kenderaan;
Tambang percuma;
Saham;
Kemudahan perjalanan;
Hiburan;
Perkhidmatan serta keahlian kelab mewah, pusat-pusat keahlian kehormat, dan sebarang bentuk diskaun atau komisen;
Hamper, barang kemas, perhiasan atau barangan lain; dan
Sebarang pemberian cenderamata atau benda yang bernilai.
2.2 Kakitangan, Pengurusan Tertinggi dan Perunding
Semua kakitangan, Pengurusan Tertinggi dan perunding yang dilantik secara rasmi oleh Kausar Aspire adalah tertakluk kepada polisi ini sepanjang tempoh perkhidmatan mereka, termasuk pihak-pihak yang berurusan dengan Kausar Aspire.
2.3 Orang-Orang Lain
Merujuk kepada:
Isteri atau suami;
Ibu bapa kandung dan ibu bapa mertua;
Anak-anak, termasuk anak angkat yang sah; dan
Mana-mana orang lain yang bertindak bagi pihak mereka.
3.0 LARANGAN PEMBERIAN DAN PENERIMAAN HADIAH
3.1 Kakitangan, Pengurusan Tertinggi dan perunding Kausar Aspire adalah dilarang daripada menerima atau memberi apa-apa bentuk hadiah daripada kontraktor, vendor, pembekal, rakan niaga atau mana-mana pihak yang berkaitan dengan pelaksanaan tugasan rasmi.
3.2 Penerimaan hadiah oleh kakitangan, Pengurusan Tertinggi dan perunding Kausar Aspire boleh menimbulkan persepsi negatif yang berpotensi menjejaskan kredibiliti dan integriti. Kausar Aspire komited untuk melaksanakan pematuhan terhadap Polisi Tidak Menerima Hadiah (No Gift Policy) yang melarang kakitangan, Pengurusan Tertinggi dan perunding daripada terlibat dalam pemberian atau penerimaan sebarang bentuk hadiah daripada mana-mana individu atau pihak yang mempunyai hubungan kerja, urusan rasmi atau kepentingan dengan Kausar Aspire.
4.0 PENERIMAAN BERDIPLOMASI
4.1 Dalam keadaan di mana kakitangan, Pengurusan Tertinggi atau perunding Kausar Aspire terpaksa menerima hadiah atas dasar budaya tertentu atau dalam situasi di mana pemberian hadiah merupakan sebahagian daripada etika perniagaan, atau bagi mengelakkan daripada mengaibkan pihak pemberi atau menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua pihak, penerimaan hadiah tersebut hendaklah direkodkan dalam buku daftar penerimaan hadiah melalui borang yang ditetapkan untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif. Jawatankuasa tersebut kemudiannya akan membuat keputusan sama ada untuk meluluskan penerimaan hadiah tersebut atau mengarahkan supaya hadiah itu dipulangkan.
4.2 Dalam keadaan di mana penolakan hadiah boleh dilihat sebagai tidak menghormati pihak luar, namun sekiranya wujud situasi konflik kepentingan, Ketua Jabatan tidak boleh meluluskan penerimaan hadiah tersebut. Dalam situasi ini, hadiah hendaklah dipulangkan secara sopan dengan memberikan penjelasan mengenai Polisi Tidak Menerima Hadiah Kausar Aspire.
4.3 Sekiranya Ketua Jabatan meluluskan penerimaan hadiah tersebut, Ketua Jabatan hendaklah memastikan sama ada hadiah tersebut:
4.3.1 didermakan kepada badan amal; atau
4.3.2 disimpan untuk pameran di pejabat; atau
4.3.3 dikongsi sesama kakitangan Kausar Aspire; atau
4.3.4 dibenarkan untuk disimpan oleh kakitangan, Pengurusan Tertinggi atau perunding yang menerimanya.
5.0 PENGECUALIAN TERHADAP POLISI TIDAK MENERIMA HADIAH
5.1 Walaupun pada amnya Kausar Aspire mengamalkan Polisi Tidak Menerima Hadiah (No Gift Policy), terdapat beberapa pengecualian terhadap peraturan am tersebut yang membenarkan penerimaan hadiah dalam situasi-situasi berikut:
5.1.1 Pertukaran hadiah antara Kausar Aspire dengan syarikat-syarikat lain sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi atau kunjungan hormat, di mana hadiah tersebut kemudiannya dikategorikan sebagai harta Kausar Aspire.
5.1.2 Hadiah daripada Kausar Aspire kepada institusi luar atau individu yang berkaitan dengan fungsi rasmi Kausar Aspire, majlis rasmi atau keraian, seperti cenderamata yang diberikan kepada semua tetamu yang menghadiri majlis tersebut.
5.1.3 Hadiah daripada Kausar Aspire kepada kakitangan, perunding, Pengurusan Tertinggi dan/atau ahli keluarga mereka yang berkaitan dengan fungsi rasmi Kausar Aspire, sama ada majlis dalaman atau luaran, sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan serta perkhidmatan mereka.
5.1.4 Hadiah berbentuk token yang bernilai nominal, lazimnya memaparkan logo Kausar Aspire, seperti kemeja-T, pen, diari, kalendar, pemacu USB dan barangan promosi lain, yang diberikan secara saksama kepada orang awam, delegasi, pelanggan, rakan niaga dan pemegang taruh utama yang menghadiri persidangan, pameran, latihan atau program rasmi yang lain.
5.1.5 Hadiah kepada pihak luar yang tidak mempunyai sebarang transaksi atau urus niaga dengan Kausar Aspire, seperti sumbangan kewangan atau hadiah seumpamanya kepada badan amal.
5.1.6 Penerimaan hadiah dalam bentuk wang tunai sekiranya kakitangan atau perunding menghadiri atau dijemput untuk menyampaikan taklimat berkaitan urusan perniagaan Kausar Aspire. Nilai wang tunai tersebut hendaklah tidak melebihi RM500. Sekiranya jumlah yang diterima melebihi had yang ditetapkan, kakitangan atau perunding hendaklah melaporkannya kepada Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Kausar Aspire dengan kadar segera.
6.0 TINDAKAN / PENALTI
6.1 Mana-mana kakitangan atau perunding yang ingkar atau gagal mematuhi Polisi Tidak Menerima Hadiah ini boleh dianggap telah melanggar arahan syarikat dan boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut Garis Panduan Kerjaya Kausar Aspire – Seksyen 10: Kod Etika dan Akauntabiliti Profesional bagi kakitangan serta Perjanjian Perkhidmatan Perunding bagi perunding Kausar Aspire, mengikut mana-mana yang berkenaan.
6.2 Mana-mana kontraktor, vendor atau pembekal yang didapati dan dibuktikan melanggar polisi ini boleh dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, atau mana-mana pihak berkuasa atau badan pengawal selia yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
